Profil Syeikh Muhammad
Sayyid Tantawi rahimahullah
Syeikh Muhammad Sayyid
Tantawi dilahirkan pada bulan
Oktober tahun 1928 di
Kampung Salim As-Syarqiyyah
di Muhafazah Sohaj di So'id
Misr. Beliau menghafaz Al-
Quran dan belajar di
Iskandariah/Alexandaria,
Mesir.
Memperoleh PhD dalam
bidang Hadith dan Tafsir pada
tahun 1966 dengan pangkat
Mumtaz (cemerlang).
Berkhidmat sebagai tenaga
pengajar di Kuliah Usuluddin,
kemudian beliau mengajar di
Libya selama 4 tahun dan di
Madinah Al-Munawwarah pula
sebagai Dekan Kuliyyah Ad-
Dirasat Al-'Ulya di Universiti
Islam Madinah. Kemudian,
beliau pulang semula ke
Kaherah.
Pada 28 Oktober 1986, beliau
dilantik menjadi Mufti
Kerajaan Negara Mesir. Pada
tahun 1996, beliau dilantik
menjadi Syeikhul Azhar.
Beliau merupakan salah
seorang di kalangan ulama
terbilang di Al-Azhar yg mahir
dalam bidang Tafsir dan
mempunyai karya-karya
penulisan yang bermutu.
Peribadinya
Syeikh Sayyid Tantawi
walaupun seorang yang
berkedudukan tinggi di dalam
kerajaan Mesir, namun sedikit
pun tidak memberikan kesan
kepada kehidupannya. Malah
terkenal sebagai seorang yang
zuhud, tenang dan sejuk mata
memandang. Butir-butir kalam
yang keluar daripada beliau
mampu menusuk ke jiwa
sanubari sesiapa yang ingin
memahaminya.
Syeikh Sayyid Tantawi
merupakan seorang yang
sangat kuat membaca dan
terlalu asyik jika membaca,
sehingga diceritakan beliau
terpaksa menyuruh salah
seorang pembantunya untuk
menunggu dan mengingatkan
kepada beliau bilamana waktu
solat telah masuk, bimbang
terlepas waktu solat. Ini
kerana jika beliau mula
membaca pada awal pagi,
maka beliau hanya akan
tamat membaca jika telah
masuk waktu Zohor. Ini adalah
rutin kehidupan beliau.
Bilamana meneliti kehidupan
beliau, seolah-olah terpancar
sinar para ulama terdahulu
yang terlalu asyik dan masyuk
ketika membaca. Kisah Imam
Isnawi rahimahullah yang
membaca bermula selepas
Isyak sehinggalah terlepas
solat Subuh hanya kerana
terlalu asyik membaca dan
menulis sehingga tidak sedar
bahawa matahari semakin
meninggi. Beliau hanya
menyedari bahawa subuh
telah tamat bilamana cahaya
matahari memancar ke
wajahnya. Masya Allah, begitu
asyik sekali membaca seolah-
olah tidak menyedari apa
yang berlaku di sekelilingnya.
Berbeza dengan sikap 'pewaris
para ulama' sekarang, lebih
banyak tidur daripada
membaca. Apa yang berlaku
kepada kita, adalah sebalik
daripada cerita Imam Isnawi
rahimahullah dan Imam
Tantawi rahimahullah.
Karya-karyanya
- Bani Israel fi Al-Quran wa
As-Sunnah (1969)
- At-Tafsir Al-Wasit li Al-Quran
Al-Karim (1972)
- Al-Qissah fi Al-Quran Al-
Karim (1990)
- Muamalat Al-Bunuk wa
Ahkamuha As-Syar'iyyah
(1991)
Kontroversi Semasa Hidupnya
Memang tidak dinafikan
Syeikh Tantawi rahimahullah
pernah mengeluarkan fatwa
yang kelihatan kontroversi
tetapi mungkin fatwa itu
dikeluarkan atas faktor-faktor
tertentu yang tidak kita
ketahui. Maka, lebih selamat
jika kita serahkan urusan-
urusan sebegini kepada
mereka yang layak dan
tahanlah lidah kita daripada
mengecam serta mencerca
para ulama.
Berkata Ibnu Asakir:
"Sesungguhnya daging para
ulama itu beracun."
Daripada Ibnu Umar ra, sabda
Rasulullah saw:
"Sebutlah kebaikan-kebaikan
orang-orang yang mati di
kalangan kamu dan tahanlah
(diri kamu) daripada
menyebut kesalahan-
kesalahan mereka."
(Riwayat Imam Abu Daud,
Tirmizi, Ibnu Hibban, At-
Tabrani, Al-Hakim, Al-Baihaqi
dan Al-Baghawi)
Semoga Allah menempatkan
beliau bersama para anbiya
dan solihin. Amin.